Ekoran beberapa kes
penganiayaan kepada ternakan seperti yang di war-warkan oleh NGO Australia yang
sangat berpengaruh ia itu RSPCA dan Animals Australia (The Voice For Animals),
satu kempen dinamakan Ban Live Export telah dilancarkan secara besar-besaran
bagi menghalang ekspot ternakan hidup dari Austr...
alia. Video gambaran penganiayaan ternakan
seperti yang berlaku di Indonesia pada Mei 2011, telah mencetuskan satu desakan
yang telah memaksa kerajaan Australia mengenakan penggantungan sementara ekspot
ruminan kenegara tersebut pada Jun 2011. Australia mengekspot sebanyak 694,429
ekor lembu hidup pada tahun 2011 (jatuh 21% berbanding 2010) bernilai AUD 629.4
juta. Indonesia merupakan pengimpot lembu hidup terutama untuk tujuan
sembelihan/fidlot terbesar Australia dengan jumlah 413,359 ekor pada 2011
bernilai AUD 275.6 juta. Jumlah tersebut jatuh secara nyata berbanding tahun
2010 disebabkan penggantungan sementara ekspot selama 3 bulan pada tahun 2011.
Selain dari Indonesia, banyak bukti-bukti lain penganiayaan terhadap haiwan
ternak diperolehi dan perkara tersebut amat dipandang serius oleh pihak
Australia untuk melakukan sesuatu dan pada masa yang sama tidak menjejaskan
industri yang memberi pekerjaan kepada lebih kurang 10,000 orang warganya.
Dari segi jumlah ternakan hidup yang diekspot, biri-biri merupakan ternakan
yang terbanyak, dimana pada 2010 sebanyak 2.8 juta biri-biri Australia diekspot
, bernilai AUD 333 juta, terutama ke Timur Tengah dengan didahului oleh Kuwait
sebanyak 1,153,765 ekor, menyumbang 40% dari jumlah export, diikuti oleh
Bahrain (15%), Turkey (14%), Qatar (11%) Jordan (7%) dan lain-lain, termasuk
Malaysia.
Pada 2010, Australia juga telah mengekspot sebanyak 77,414 ekor kambing
bernilai AUD 10.3 juta (kebanyakan nya kambing Feral) dan dari jumlah tersebut
83% (lebih 60,000 ekor) diekspot ke Malaysia, menjadikan Malaysia pengimpot
terbesar kambing Australia, diikuti oleh Singapura dan Brunai Darussalam.
Berdasarkan fakta diatas, kerajaan Australia tidak menafikan sumbangan sektor
tersebut terhadap ekonominya serta peluang pekerjaan yang dinikmati oleh
warganya, tetapi pada waktu yang sama perlu menangani isu penganiayaan terhadap
ternakan tersebut.
Ekoran dari permasaalahan tersebut, pada 13 Julai 2011, Menteri Persekutuan
bagi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF –
Department of Agriculture, Fisheries and Forestry) , Hon. Joe Ludwig telah
mengumumkan penubuhan IGWG ( Industry Government Working Group) bagi
membincang, merancang dan membentuk Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal
Pengekspot atau ESCAS ( Exporter Supply Chain Assurance System).
Empat prinsip asas sistem tersebut bertujuan penggubalan semula dasar eksport
ternakan hidup, adalah :
• Menepati Piawaian OIE (World Organisation for Animal Health) bagi Kebajikan
Haiwan
• Membolehkan ternakan secara berkesan dipantau, dijamin dan
dipertanggungjawabkan kepada pengekspot melalui Sistem Rangkaian Pembekalannya
(ESCAS) dari mula penerimaan ternakan sehingga ke proses sembelihan.
• Rekod dan penyediaan lapuran sebagai rujukan
• Di sahkan dan di audit oleh badan bebas yang dilantik
ESCAS ( Exporter Supply Chain Assurance System)
Kerajaan Australia telah memaklumkan melalui kedutaan Malaysia di Australia dan
kedutaan Australia di Malaysia tentang perlaksanaan sistem ESCAS, dan
perbincangan antara pihak JPV Malaysia dan MLA (Meat Livestock Australia) telah
bermula sejak awal 2012 lagi.
Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengekspot atau ESCAS merupakan satu sistem
yang dirangka khusus bagi menjamin setiap ternakan hidup yang diekspot dari
Australia dikendalikan (handling) mengikut piawaian Australian Standards for
the Export of Livestock (ASEL) dan OIE (World Organisation for Animal Health)
bagi menjamin kebajikan ternakan sentiasa diberi keutamaan, mengelak sebarang
bentuk kekejaman, menghormati serta memastikan keselesaan ternakan dari titik
penerimaan sehingga ke proses sembelihan.
Pihak pengekspot dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi memastikan seluruh
jaringan pembekalannya (Supply Chain) dari pengimpot dan pemborong yang
disahkan/berdaftar (authorized) mengikuti keseluruhan prosedur seperti yang
telah ditetapkan. Perlaksanaan keseluruhan prosedur akan dipantau secara rapi
oleh MLA ( Meat Livestock Australia) dan juruaudit yang dilantik.
NGO yang berkaitan juga sudah pastinya akan sentiasa meneropong dari segenap
sudut bagi mencari apa juga kesalahan yang mungkin dilakukan (tidak mengikut
tatacara pengendalian seperti dinyatakan) walau pun kecil.
Bagi memastikan ESCAS mencapai matlamatnya, pihak MLA (Meat Livestock Australia),
atas daya inisiatifnya telah mula melancarkan program intensif memberi
taklimat, bengkel , latihan serta lawatan ke fasiliti pihak pengimpot dan
jaringan pembekalan yang disyorkan oleh mereka untuk tunjukajar, nasihat,
demonstrasi semua prosedur pengendalian dan sembelihan mengikut piawaian yang
ditetapkan.
• ESCAS telah dikuatkuasakan bermula 1 hb September 2012
• Bermula pada tarikh tersebut, ternakan yang di impot oleh pengimpot berdaftar
yang diluluskan dalam sistem ESCAS cuma boleh di jual kepada pemborong
berdaftar (authorized buyer) yang diluluskan dalam jaringan pembekalannya.
Penjualan kepada pemborong yang tidak berdaftar (unauthorized buyer) akan
menyebabkan pengeksport (Syarikat Australia) tidak boleh lagi menjual kepada
pengimpot berkenaan.
• Untuk menjadi pemborong berdaftar dibawah sistem ESCAS, para
peniaga/pemborong perlu memohon kepada pengimpot berkenaan. Mereka perlu
mempunyai fasiliti yang lengkap seperti dinyatakan dalam syarat ESCAS. Fasiliti
tersebut perlu di audit untuk kelulusan dan pihak pemborong perlu melalui
proses latihan yang dikendalikan oleh pihak MLA (Meat Livestock Australia). Pemborong
yang telah menepati semua syarat ESCAS akan diberi kelulusan sebagai pemborong
berdaftar di bawah pengimpot tertentu.
• Pengendalian ternakan dari masa ternakan sampai di pelabuhan atau lapangan
terbang perlu menepati piawaian ASEL dan OIE ; meliputi , kemudahan di
pelabuhan dan lapangan terbang, makanan/minuman ternakan , prosedur sekiranya
menempuh perjalanan yang lewat (jadual tertangguh), jumlah pembeli/wakil
pembeli/pekerja di pelabuhan/lapangan terbang, persediaan lori pengangkut,
pemindahan ternakan dari crate ke lori dan dari lori ke fasiliti pemborong
berdaftar, jumlah ternakan yang sesuai bagi setiap lori dan berdasarkan saiz
ternakan, pengendalian ternakan sakit, lemah dan tercedera, teknik menghalau
ternakan dan lain-lain.
• Semua ternakan yang dibeli oleh pengguna dari pengimpot atau pemborong
berdaftar perlu menyembelih ternakan tersebut di fasiliti sembelihan/rumah
sembelih yang telah diluluskan kepada pengimpot atau pemborong berdaftar
tersebut. Pengimpot atau pemborong berdaftar tidak boleh sama sekali menjual
ternakan hidup untuk disembelih ditempat lain kepada pembeli.
• Penyembelihan untuk tujuan akikah, korban, kenduri, upacara agama (seperti
Hindu) di fasiliti sembelihan/rumah sembelih yang belum atau tidak diluluskan
tidak dibolehkan sama sekali; ini termasuklah di surau, masjid, kuil , kawasan
rumah dan mana juga tempat pada setiap masa/keadaan seperti Hari Raya Korban,
Deepavali dan lain-lain perayaan.
• Teknik pengendalian ternakan sebelum sembelihan dan proses sembelihan – meliputi
jenis pisau, ketajaman pisau, teknik pengendalian ternakan yang akan disembelih
dan teknik sembelihan – memahami anatomi ternakan , tempoh mati perlu mematuhi
semua piawaian seperti ditetapkan.
• Pengimpot dan pemborong berdaftar akan di audit dari semasa kesemasa oleh
Juruaudit yang dilantik oleh MLA bagi memastikan perlaksanaan sistem ESCAS
dipatuhi sepenuhnya, dan lapuran akan dihantar serta dinilai oleh MLA untuk
sebarang keputusan dibuat.